Iklan

Wednesday, August 20, 2014

Resipi sarapan - Roti Bakar dengan Cinnamon

Kali ini , resipi yang teramat mudah tetapi sangat sedap terutama bila di makan panas - panas. Resipi ini saya perolehi ketika ke sebuah hotel di pantai timur dan saya meniru 100% tetapi bahannya mungkin sedikit berbeza kerana bahan yang mereka gunakan lebih bermutu tinggi. 

Apa yang saya kongsikan ini adalah menggunakan bahan mudah diperolehi dan sangat sesuai dengan konsep Suami Suka Masak. Ia amat sesuai untuk dijadikan sarapan segera (asyik roti canai saja pun tak bagus kan) atau boleh juga untuk minum petang minum malam.

Bahan - bahan

Roti (apa jua jenama boleh digunakan)
Mentega
Kaya
Serbuk Kayu Manis (Cinnamon)

Cara penyediaan


Bakar roti menggunakan pembakar atau boleh saja gunakan kuali sehingga berubah warna mengikut kesukaan anda. Ada orang suka terbakar sedikit sahaja, Ada pula yang suka garing mahupun sehingga hampir rentung


Sapukan kaya sehingga rata. Kemudian letakkan mentega (sebaiknya yang disejukkan) mengikut jumlah yang anda gemari. Jika mentega dalam keadaan hampir beku, itu lebih sedap di makan dengan roti yang masih panas.
Kemudian taburkan serbuk kayu manis di atasnya. Saya cadangkan nikmati baunya terlebih dahulu sebelum makan. Anda pasti berselera!


Saturday, August 16, 2014

Menu Raya - Mee Hoon / Bihun Sup dengan bebola ayam



Hari ini kebetulan ada beberapa teman ingin bertandang ke rumah sambil memenuhi kuota raya selama sebulan. Tiada idea untuk masak pada awalnya tetapi selepas dibelek - belek peti sejuk, ada ayam bahagian peha beberapa ketul. Cadangnya peha ayam itu untuk di goreng berempah, tapi kerana yang nak hadir ini agak ramai juga maka bihun sup lebih sesuai rasanya.

Bahan - bahan


Ayam dipotong kecil
Bawang Holland
Kentang
Bawang putih
Halia
Daun Parsley
Tomato
Rempah sup
Sup Bunjut
Lada sulah
Lada hitam
Limau Nipis
Cili Api
Kicap
Minyak Zaitun
Seruk /Sos perisa
Bebola Ayam


Kisarkan bawang Holland, bawang putih, halia dan daun parsley (daun bawang juga boleh). Anda juga boleh untuk meracik halus jika tidak mahu mengisarkannya. Kemudian panaskan periuk dan masukkan minyak zaitun (minyak masak biasa juga boleh)


Setelah itu masukkan semua bahan yang dikisar tadi dan ditumis sehingga naik bau. Kemudian tambahkan air dengan jumlah bersesuai mengikut banyak mana hidangan anda. Selanjutnya masukkan ayam serta kentang dan reneh seketika. 
Kemudian masukkan pula sup bunjut dan rempah sup. Renehkan lagi. Kemudian masukkan tomato, lada sulah, lada hitam dan perasa serta garam secukupnya. 
Akhir sekali masukkan bebola ayam dan biarkan hingga sup menjadi pekat mengikut selera anda


Seterusnya, sediakan pula kicapnya. Potong cili api dan perahkan limau nipis ke dalam mangkuk. Kemudian masukkan kicap mengikut kuantiti yang dirasakan perlu.




Seterusnya rendamlah bihun mengikut kuantiti yang anda perlukan dengan air panas.



Setelah semuanya selesai, hidangkan bihun tadi dengan sup yang sudah tersedia. Tambahkan bawang goreng, daun parsley dan daun bawang bagi menyedapkan lagi hidangan. Jangan lupa makan bersama kiap dan cili api yang dibuat tadi. Selamat mencuba







Thursday, August 14, 2014

Menu sarapan pagi ringkas - Pratha dengan sosej

Ini pula ialah menu ringkas yang saya kira mudah buat suami - suami diluar sana sediakan. Menu ini juga memiliki ruang besar untuk bereksperimen dengan penambahan pelbagai bahan mengikut citarasa anda.

Pratha bukanlah nama biasa di Malaysia kerana kita lebih selalu menyebutnya sebagai Roti Canai. Di Singapura sebagai perbandingan, Pratha lebih selalu disebut.

Pratha kini boleh dibeli dalam bentuk sejuk beku dan ianya jauh lebih baik dari yang dihidangkan dikedai kerana penggunaan minyak yang lebih minimum. (Pengilang menjimatkan kos bahan tidak seperti di kedai makan yang mencelup dengan tangan sebagai sukatan..)

Hidangan ini juga sesuai dibuat sebagai bekal anak - anak ke sekolah ataupun sebagai snek ketika lapar.

Oleh kerana hidangan ini mudah, anda boleh juga mengajar cara penyediaannya kepada anak - anak yang sudah boleh membantu anda di dapur.

Bahan - bahannya


Sekeping Pratha sejuk beku
Daun salad
Tomato ceri
Keju
Sosej
Mayonis
Sos Cili


Goreng / Bakar sosej mengikut selera anda. Saya gunakan non - stick pan dengan hanya sedikit minyak zaitun untuk memasak sosej ini.


Setelah sosej masak, masukkan pula Pratha tanpa perlu diletakkan minyak. Jangan risau ia melekat jika anda gunakan non - stick pan kerana jika ia sudah mula masak, ia tidak akan melekat..sebaliknya jika anda cuba menterbalikkan dengan sudip dalam keadaan ia belum sedia, pratha anda akan mudah koyak.


Setelah diterbalikkan dan pratha mula kelihatan garing, taburkan keju ke atasnya. Anda juga boleh gunakan slice cheese jika mahu.


Setelah pratha selesai, angkat dan susunlah mengikut kreativiti anda. Letakkan sos dan mayonis mengikut selera anda


Sedia untuk dihidangkan

Patty Daging

Antara pertanyaan yang selalu saya terima ialah bagaimana menyediakan patty daging burger sendiri. Patty yang selalu saya buat bukan hanya untuk kegunaan bagi penyediaan burger sahaja malah selalu saya lebihkan kuantitinya agar dapat digunakan bagi resepi yang lain. Sebagai contoh untuk kuah spaghetti, inti tortilla, inti cucur daging dan sebagainya.

Banyak rujukan dalam penghasilan patty ini dan ianya sangat terpulang kepada citarasa individu. Namun 'general rules' yang saya pegang ialah apa juga bahan yang digunakan bagi perapan daging itu, jangan sampai ia mengatasi rasa daging itu sendiri. Faham kan?

Baik, saya kongsikan kaedah saya. Dan pastinya ini bukanlah kaedah yang terbaik dalam dunia ini, tapi ia memuaskan hati setiap orang yang merasai air tangan saya setakat ini.

Ini adalah bahan - bahannya. Dari kiri minyak zaitun, bawang Holland, bawang putih, lada hitam, lada sulah, daun parsley dan daging kisar 

Cincang bawang dan daun parsley. Kemudian masukkan semua bahan - bahan tadi ke dalam apa saja bekas untuk mengadun yang anda ada (mangkuk, pinggan, besen kecil)

Gaulkan hingga sebati

Bentukkan seperti bebola. Dari satu rancangan TV yang saya saksikan, rasa daging dan bahan - bahan ini akan menjadi lebih baik bila dibentukkan seperti bebola setelah diadun.

Tutup bekas anda untuk diperap bahan - bahan tersebut. Sekiranya anda mahu masak segera, perap selama 5 minit juga sudah memadai.

Begitulah penerangan ringkas dalam menyediakan patty daging versi saya ini. Anda boleh masak daging ini dengan pelbagai cara. Sekiranya anda ada mencuba resipi ini, sila kongsikan di laman Facebook kami.

Salmon dengan Orange Butter Sauce


Ini adalah cubaan pertama saya memasak salmon dengan sos menggunaka  buah oren dan 

mentega. Resipi ini saya buat khusus untuk isteri saya yang sedang berpantang - bersalin 

anak ke 4 kami.

Salmon yang saya perolehi dari pasaraya besar ini tidak lah seperti yang kita tonton di 

rancangan memasak di TV. Saya maksudkan dari segi potongan ikan ini kerana ia tidak 

dipotong secara filet. Potongan seperti ikan tongkol ini juga ada kelebihannya bagi saya - 

ia boleh dimasak dengan baik untuk kedua - dua belahnya. Tapi jika dengan potongan 

filet, ia boleh garingkan kulitnya dengan lebih baik.

Inspirasi asal datang dari video ini.


Dan juga dari video ini



Ini versi saya:


Ikan salmon di bakar / goreng atas non stick pan tanpa minyak

Tapi nak sedap letak minyak zaitun sikit atau butter sikit



Lepas masak (jangan lama sangat..perhatikan bahagian tepi akan berubah warna dari 

merah kepada putih) angkat letak atas pinggan hidangan

Untuk sos, mula2 masukkan air perahan lemon / oren / limau nipis dalam pan


Lepas tu masukkan hirisan bawang putih, halia, black pepper dan sikit garam


Letakkan herba lain jika mahu (parsley / basil / atau apa yang berkenan)


Kemudian masukkan butter dan kacau hingga rata dan cair..jangan sampai hangus butter 

tu..agak2 semua dah cair maka curahkan atas ikan..

Anda ada resipi salmon yang ingin dikongsi? Emailkan kepada suamisukamasak@gmail.com

Now Every Husband Can Cook!

Now Every Husband Can Cook!



Alhamdulillah...terbina juga laman blog ini setelah beberapa bulan dalam perancangan! Laman suamisukamasak.blogspot.com ini di bina khusus untuk anda yang terutama sang suami yang suka memasak, mula nak belajar memasak atau sememangnya sudah cukup pakar dalam memasak..

Baiklah..kenapa saya ciptakan blog ini walhal sudah berjuta web dan blog memasak dengan beribu jenis resipi dan teknik yang pelbagai? Malah mungkin ada yang tanya, adakah saya ini pandai memasak? Belajar di mana? Pengalaman di hotel atau restoran mana?

Pertamanya, saya bukanlah tukang masak profesional, mahupun punya pengalaman luas dalam memasak. Saya hanya seorang suami yang suka memasak untuk famili dan rakan - rakan yang hadir ke rumah. Saya sendiri tidak pasti makanan yang saya masak sedap atau tidak..apa yang pasti setiap kali saya masak saya rasa seronok, rasa puas bereksperimen dan rasa gembira bila makanan saya habis di makan oleh mereka yang dilayan.

Kenapa saya suka masak? Kerana ia tuntutan agama. Suami adalah orang sepatutnya bertanggungjawab menyediakan makanan buat keluarga. Keduanya kerana memasak sering menguji pancaindera saya agar lebih sensitif dan juga menyemai rasa yakin dengan setiap tindakan saya.

Kemana hala tuju blog ini?

Saya akan menggunakan 'frame work' yang sama seperti satu lagi projek saya iaitu www.bolarotan.com yang mana ia boleh dikatakan sudah berjaya dengan pengiktarafan dari masyarakat tempatan dan antarabangsa. 'Framework' yang saya maksudkan ialah laman blog ini akan berkongsi resipi dan teknik masakan tidak kira tahap kesukaran menyediakan juadah itu atau dari mana resipi itu datang. Ia boleh terdiri dari semudah menggoreng telur dadar sehinggalah ke makanan di hotel - hotel.

Saya juga akan kongsikan video  - video yang relevan sama ada hasil kerja tangan saya sendiri mahupun petikan dari laman lain atau dari sesiapa saja. Saya merancang mewujudkan satu rancangan video online yang bertajuk Dari Dapur Ke Blog di mana saya akan melakukan penggambaran memasak dari tokoh, sahabat, chef mahupun sesiapa saja untuk dikongsi bersama.

Saya juga bercadang mewujudkan acara - acara berkaitan memasak bagi membangkitkan kesedaran memasak sendiri makanan agar kebergantungan kita kepada restoran makanan segera mahu pun mamak dapat dikurangkan. Setiap hidangan yang dimasak oleh kita dan dimakan oleh famili pastinya mengundang barokah dan pahala bukan? Malah boleh mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan.

Saya berharap pembaca semua dapat memberi sokongan kepada usaha ini. Walaupun anda belum menjadi suami, anda juga boleh menyumbang kepada idea atau bahan untuk dipamerkan dalam blog ini. Sekiranya anda ialah wanita, anda juga boleh mendapat manfaat dari blog ini juga. Ajaklah suami / tunang atau buah hati anda untuk turut melayari laman ini nanti. Insya Allah, bahan dalam blog ini akan cuba di muat naik dalam kadar yang bersesuaian. Selamat memasak!