Iklan

Thursday, August 14, 2014

Now Every Husband Can Cook!

Now Every Husband Can Cook!



Alhamdulillah...terbina juga laman blog ini setelah beberapa bulan dalam perancangan! Laman suamisukamasak.blogspot.com ini di bina khusus untuk anda yang terutama sang suami yang suka memasak, mula nak belajar memasak atau sememangnya sudah cukup pakar dalam memasak..

Baiklah..kenapa saya ciptakan blog ini walhal sudah berjuta web dan blog memasak dengan beribu jenis resipi dan teknik yang pelbagai? Malah mungkin ada yang tanya, adakah saya ini pandai memasak? Belajar di mana? Pengalaman di hotel atau restoran mana?

Pertamanya, saya bukanlah tukang masak profesional, mahupun punya pengalaman luas dalam memasak. Saya hanya seorang suami yang suka memasak untuk famili dan rakan - rakan yang hadir ke rumah. Saya sendiri tidak pasti makanan yang saya masak sedap atau tidak..apa yang pasti setiap kali saya masak saya rasa seronok, rasa puas bereksperimen dan rasa gembira bila makanan saya habis di makan oleh mereka yang dilayan.

Kenapa saya suka masak? Kerana ia tuntutan agama. Suami adalah orang sepatutnya bertanggungjawab menyediakan makanan buat keluarga. Keduanya kerana memasak sering menguji pancaindera saya agar lebih sensitif dan juga menyemai rasa yakin dengan setiap tindakan saya.

Kemana hala tuju blog ini?

Saya akan menggunakan 'frame work' yang sama seperti satu lagi projek saya iaitu www.bolarotan.com yang mana ia boleh dikatakan sudah berjaya dengan pengiktarafan dari masyarakat tempatan dan antarabangsa. 'Framework' yang saya maksudkan ialah laman blog ini akan berkongsi resipi dan teknik masakan tidak kira tahap kesukaran menyediakan juadah itu atau dari mana resipi itu datang. Ia boleh terdiri dari semudah menggoreng telur dadar sehinggalah ke makanan di hotel - hotel.

Saya juga akan kongsikan video  - video yang relevan sama ada hasil kerja tangan saya sendiri mahupun petikan dari laman lain atau dari sesiapa saja. Saya merancang mewujudkan satu rancangan video online yang bertajuk Dari Dapur Ke Blog di mana saya akan melakukan penggambaran memasak dari tokoh, sahabat, chef mahupun sesiapa saja untuk dikongsi bersama.

Saya juga bercadang mewujudkan acara - acara berkaitan memasak bagi membangkitkan kesedaran memasak sendiri makanan agar kebergantungan kita kepada restoran makanan segera mahu pun mamak dapat dikurangkan. Setiap hidangan yang dimasak oleh kita dan dimakan oleh famili pastinya mengundang barokah dan pahala bukan? Malah boleh mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan.

Saya berharap pembaca semua dapat memberi sokongan kepada usaha ini. Walaupun anda belum menjadi suami, anda juga boleh menyumbang kepada idea atau bahan untuk dipamerkan dalam blog ini. Sekiranya anda ialah wanita, anda juga boleh mendapat manfaat dari blog ini juga. Ajaklah suami / tunang atau buah hati anda untuk turut melayari laman ini nanti. Insya Allah, bahan dalam blog ini akan cuba di muat naik dalam kadar yang bersesuaian. Selamat memasak!

3 comments: